Friday, October 24, 2008

Isu Negara Islam (MATLAMAT NEGARA ISLAM)

Di antara matlamat Negara Islam itu ialah menunaikan amanah.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit bumi, bukit bukau dan gunung ganang, semuanya enggan memikul amanah itu dan khuatir mengkhianatinya, lalu dipikul amanah itu oleh manusia, sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil.

Menurut pendapat Mufassirun, amanat itu memberi makna yang luas di antaranya ialah menegakkan undang-undang Allah dan mentadbir urusan manusia. Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya, zalim dan jahil itu dikecualikan orang yang diberi taufiq dan memohon pertolongan Allah. Para Nabi dan Rasul dan orang-orang yang mengikuti jejak langkahnya tidak termasuk di dalam kalangan yang zalim. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati amanah Allah dan Rasul SAW dan juga janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepada kamu sedang kamu mengetahuinya.”

Ayat ini bermaksud semua amanah, termasuk menegakkan hukum Allah SWT di dalam Negara Islam. Terdapat banyak lagi ayat-ayat al-Quran yang memberi makna tersebut. Al-Imam Muslim meriwayatkan di dalam syahihnya yang bermaksud:

“Dari Abi Zarr RA, katanya: ‘saya telah berkata kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, mengapa tidak melantik saya (memegang jawatan pemimpin), lalu ia menepuk bahu saya dengan tangannya kemudian ia bersabda, wahai Abu Zarr, awak seorang yang lemah, ia adalah amanah dan di akhirat nanti ia membawa kehinaan dan penyesalan kecuali orang yang mengambilnya dengan sebenar dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan kepadanya.”

Di dalam syahih Bukhari di sebut satu hadith berhubung dengan amanah yang bermaksud:

“Dari Abi Hurairah RA, katanya, sedang Rasulullah SAW berada dalam satu majlis, ia berucap kepada orang-orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A’rabi (Badwi), ia terus bertanyakan Rasulullah SAW:

“Bilakah kiamat?”

Rasulullah SAW meneruskan ucapannya. Ada orang yang berpendapat, ia mendengar pertanyaan itu dan ia tidak suka dengan cara pertanyaan seperti itu. Ada yang berpendapat ia tidak mendengarinya. Apabila Rasulullah SAW selesai berucap, tiba-tiba ia bersabda.

“Tadi saya mendengar ada orang yang bertanyakan tentang kiamat.”

Lalu orang Badwi tersebut menjawab.

“Ya, saya ya Rasulullah.”

Rasulullah SAW pun bersabda.

“Apabila dipersia-siakan amanah maka tunggulah kiamat.”

Orang Badwi itu bertanya lagi.

“Bagaimanakah mempersia-siakan amanah itu, ya Rasulullah?”

Rasulullah SAW menjawab.

“Apabila disandarkan urusan kepada orang yang bukan ahlinya.”

Para ulama’ yang mengulaskan hadith ini mewajibkan pemerintah menyempurnakan matlamat amanah dengan melantik orang yang berkelayakan dan mempunyai sifat keIslaman.

Melaksanakan kerja pemerintahan secara Islam adalah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada negara, sama ada ia dipilih dengan keredhaan rakyat ataupun tidak. Kewajipan menunaikan amanah tetap dibebankan ke atas bahunya. Oleh itu maka wajiblah ia menunaikan amanah Allah SWT dan meletakkan amanah itu kepada rakyat menurut tempatnya yang betul menurut hukum Islam. Dengan itu ternyatalah sama ada ia berlaku adil atau tidak.

Kita perlu memahami bahawa bukanlah menegakkan Negara Islam itu menjadi kemuncak matlamat walaupun ia menjadi satu kewajipan yang tidak harus dipertikaikan lagi. Yang menjadi kemuncaknya ialah menegakkan masyarakat yang sempurna, yang terselamat dari penyakit kezaliman dan melampaui batas Allah SWT. Oleh itu menjadi kenyataan sejarah Islam, apabila ada golongan yang menerima dasar tersebut, maka wajiblah umat Islam memberikan kesetiaan kepadanya dan tetap mengekalkan pimpinan yang ada tanpa mengira di mana dan bila. Maka kita hendaklah tetap menentang kezaliman walaupun berlaku di Makkah dan oleh seseorang yang sebangsa dengan Rasulullah SAW.

No comments: